Menangkap Pelaku Hanya Sebahagian Daripada Usaha Melindungi Kanak-Kanak Dalam Talian. Ketika Malaysia memperkukuh penguatkuasaan terhadap eksploitasi kanak-kanak dalam talian, usaha pencegahan juga pe

Clarinesisca Japrin
Pegawai Perlindungan Kanak-Kanak dan Penglibatan Komuniti, World Vision Malaysia
Eksploitasi kanak-kanak dalam talian mendapat perhatian dalam Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober lalu. Polis akan meningkatkan Sistem Malaysia Internet Crime Against Children (MICAC) dengan sistem canggih mengesan pelaku dan rangkaian eksploitasi lebih awal. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pula akan memperluaskan Kempen Internet Selamat ke semua sekolah dengan tumpuan kepada buli siber dan eksploitasi kanak-kanak. Ucapan itu turut menekankan Akta Keselamatan Dalam Talian dan Akta Anti-Buli yang telah berkuat kuasa, serta peranan yang lebih kukuh untuk SUHAKAM dan Pesuruhjaya Kanak-Kanak.
Pengumuman ini dibuat ketika jumlah kes semakin meningkat. Dalam Op Cyber Guardian 2026 pada April lalu, sebanyak 204,934 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak telah ditemui dan membawa kepada 69 tangkapan. Polis mendedahkan akses kepada bahan tersebut dijual menggunakan e-dompet dan kod QR. Sementara itu, Op Pedo 3.0 pada September membawa kepada 53 tangkapan, meningkat berbanding 31 tangkapan pada tahun lalu dan 13 tangkapan pada tahun 2024. Daripada jumlah tersebut, lapan yang ditahan adalah kanak-kanak bawah umur, dan termuda berusia 13 tahun. Sebahagian daripada mereka terlibat dalam menghasilkan dan menjual kandungan animasi lucah dalam kumpulan tertutup di platform dalam talian.
Di sebalik angka-angka ini, ancaman yang dihadapi juga telah berubah bentuk. Kini, ancaman bergerak melalui kumpulan tertutup dan perbualan peribadi, melibatkan rangkaian yang terancang dan berasaskan keuntungan, serta menarik penglibatan kanak-kanak itu sendiri. Sejak 1 Jun, di setiap platform, pengguna talian di bawah umur 16 tahun dihalang daripada mendaftar akaun serta perlu mengesahkan usia.
Pengesanan Bukanlah Pencegahan
Sistem yang lebih baik dan peraturan platform yang lebih ketat membantu menangani pelaku dan platform. Namun, langkah-langkah tersebut tidak mengajar kanak-kanak tindakan yang perlu dilakukan apabila orang yang tidak dikenali, atau bahkan rakan sebaya, menghantar sesuatu yang tidak sepatutnya dilihat atau meminta sesuatu yang tidak patut diberikan. Polis menegaskan bahawa penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi dan menggesa ibu bapa memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka.
Di sinilah wujudnya jurang pencegahan. Organisasi perlindungan kanak-kanak menyambut baik inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan, namun menyeru agar peruntukan khusus dan telus disediakan untuk usaha pencegahan, pendidikan keselamatan dalam talian yang bersesuaian dengan usia sebagai kompenen wajip untuk kanak-kanak, ibu bapa dan guru. Pencegahan hanya akan berkesan jika diberikan sumber dan keutamaan yang setara dengan penguatkuasaan.
Mengapa Kempen Semata-Mata Tidak Mencukupi
Kanak-kanak tidak mampu melaporkan risiko yang mereka tidak sedari. Analisis Perlindungan Kanak-Kanak 2024 oleh World Vision Malaysia, melibatkan 168 kanak-kanak dan 204 ibu bapa di luar bandar Sabah, mendapati bahawa tidak seorang pun kanak-kanak mengenal pasti peranti digital sebagai sumber risiko yang berpotensi. Hanya 4% ibu bapa yang menyatakan kebimbangan terhadap penggunaan teknologi yang tidak terkawal.
Menghalang kanak-kanak daripada menggunakan internet bukanlah satu pendekatan yang realistik atau wajar. Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak menjamin hak mereka untuk mengakses maklumat dan pada masa yang sama dilindungi daripada bahaya. Literasi digital ialah jambatan yang mengimbangi kedua-dua hak ini, iaitu keupayaan untuk menilai kandungan yang dilihat, melindungi privasi diri, berkelakuan secara bertanggungjawab dan mengetahui ke mana harus mendapatkan bantuan apabila diperlukan.
Ibu Bapa Adalah Barisan Pertahanan Pertama
Ibu bapa tidak perlu menjadi pakar teknologi, tetapi perlu memahami platform dan permainan digital yang digunakan oleh anak-anak serta risiko yang mungkin wujud. Cara ibu bapa bertindak balas apabila anak-anak berkongsi sesuatu kebimbangan juga sangat penting.
Kanak-kanak selalu memilih untuk berdiam diri kerana takut dimarahi, malu atau risau peranti mereka dirampas. Kanak-kanak yang tahu bahawa dia boleh bercakap dengan ibu bapanya tanpa dipersalahkan lebih cenderung berkongsi masalah pada peringkat awal. Ibu bapa juga perlu mengetahui saluran pelaporan yang tersedia serta menjadikan pengurusan masa skrin, tetapan privasi dan pemantauan yang sesuai mengikut usia sebagai sebahagian daripada tanggungjawab harian, dan bukan hanya perbualan sekali sahaja.
Tiga Langkah Menjadikan Langkah Belanjawan Sebagai Perlindungan Sebenar
Menjadikan Perbelanjaan Pencegahan Lebih Telus. Kerajaan perlu menjelaskan dengan terperinci jumlah peruntukan yang dikhaskan untuk pendidikan pencegahan, saluran pelaporan dan pemulihan mangsa, serta laporan tersedia setiap tahun.
Menyokong Kempen Sekolah Dengan Kurikulum Yang Mantap. Guru memerlukan latihan dan masa yang mencukupi untuk membincangkan isu seperti pengantunan, pemerasan seksual, penyalahgunaan imej serta tatacara membuat laporan, mengikut kesesuaian peringkat umur murid. Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), program komuniti dan perhimpunan keagamaan juga perlu melibatkan ibu bapa dalam perbincangan yang sama.
Melangkaui Bilik Darjah. World Vision Malaysia melatih sukarelawan komuniti mengenai keselamatan dalam talian menerusi Kelab Kanak-Kanak dan bekerjasama dengan sekolah serta klinik bagi mendekati ibu bapa. Pendekatan berasaskan komuniti seperti ini mampu menjangkau keluarga yang sering tercicir daripada program formal, khususnya di kawasan luar bandar.
Kanak-kanak yang terlibat dalam penghasilan atau perkongsian bahan penderaan juga memerlukan pendekatan yang mengambil kira kepentingan terbaik kanak-kanak. Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM telah menggesa supaya kanak-kanak di bawah umur dinilai secara berasingan daripada pesalah dewasa, dengan pemulihan diberikan keutamaan apabila bersesuaian.
Di Mana Perlindungan Bermula
Ucapan seperti"Hai cantik!" atau"Hai kacak!" mungkin kedengaran tidak berbahaya bagi kebanyakan orang dewasa. Namun, bagi seorang kanak-kanak yang tidak pernah diajar tentang tanda-tanda pengantunan, ucapan tersebut boleh menjadi langkah pertama ke arah eksploitasi dan penderaan.
Belanjawan 2027 menyediakan alat yang lebih baik kepada pihak polis untuk mengesan individu yang menghantar mesej sedemikian. Namun perlindungan sebenar juga memerlukan kanak-kanak yang tahu bila perlu berhenti, bercakap dengan orang dewasa yang dipercayai dan membuat laporan, serta ibu bapa yang memahami cara untuk membantu mereka. Itulah titik sebenar bermulanya perlindungan kanak-kanak dalam talian.

Comments